Nelson kembali bantu Kedah

PENANTIAN tiga jam penyokong setia Hijau Kuning terubat apabila kelibat bekas perancang Kedah, Nelson San Martin muncul di pintu balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim lebih kurang jam 11 malam, kelmarin.

Pemain berusia 32 tahun itu dilihat agak keletihan tetap melayan permintaan untuk bergambar dan menandatangani baju yang dipakai penyokong.

Bagaikan melepaskan kerinduan ada penyokong yang memeluk Nelson dan meminta pemain berkenaan mengangkat semula martabat bola sepak Kedah yang kini menjunam ke saingan Liga Perdana musim depan.

Bagaimanapun, sesi pertemuan Nelson bersama peminat berlaku sekejap sahaja sebelum wakil Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membawa bekas pemain Bernechea FC itu ke penginapannya untuk berehat.

Presiden Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Fazli Mansor yang turut hadir menyambut Nelson berharap KFA dapat memberikan ruang kepada pemain tengah tersebut yang mahu beraksi semula bersama Kenari.

Katanya, difahamkan Nelson hanya mempunyai masa seminggu sahaja di sini untuk menjalani ujian pemilihan yang dijadualkan dinilai oleh Ketua Jurulatih Kedah, Mario Tot.

“Nelson juga ada mendapat tawaran daripada pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang, namun dia memilih Kedah sebagai destinasi utamanya. Kita berharap Nelson akan terpilih mengisi salah satu kekosongan pemain import Hijau Kuning musim depan dan membantu untuk memulihkan kembali reputasi pasukan yang tercalar,” katanya .

Nelson muncul antara tenaga import utama membantu Hijau Kuning mencipta sejarah bola sepak negara apabila muncul satu-satunya pasukan meraih gelaran double-treble pada tahun 2007 dan 2008.