Nasihat Martinez buat Bale

LONDON – Pengurus Wigan Athletic, Roberto Martinez menasihati pemain sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale supaya melupakan hasrat untuk beraksi di Sepanyol.

Martinez yang menganggap Bale sebagai salah seorang pemain sayap terbaik di dunia berkata, keputusan tersebut akan menjejaskan kariernya.

Bale menjadi tonggak utama yang membantu kebangkitan skuad kendalian Andre Villas- Boas dalam kempen Liga Perdana England musim ini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, Bale akan disisihkan sekiranya berhijrah ke Barcelona atau Real Madrid.

Bale akan menghadapi persaingan yang sengit bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama kedua-dua kelab gergasi Liga Sepanyol itu.

“Banyak pihak mencadangkan agar Bale menyertai kelab seperti Real dan Barcelona. Berdasarkan pada situasi sekarang, Bale berhak untuk mendapat tawaran tersebut.

“Lihat sahaja pada dua aksinya ketika membantu Wales menentang Scotland dan Croatia. Bale sentiasa menonjol berbanding 21 pemain lain. Jelas, dia merupakan seorang pemain yang hebat.

“Pada pendapat saya, sukar untuk meramalkan tahap keupayaan Bale sekiranya dia bersetuju beraksi di Sepanyol.

“Kadang-kadang sesetengah pemain akan mempertimbangkan tawaran lumayan daripada kelab gergasi tetapi sekiranya tidak diberikan peranan, ia tidak berguna.

“Ia sangat berbeza sekiranya dia diletakkan selaku pemain pilihan kelima atau keenam dan hanya sebilangan pemain yang sahaja kekal dalam skuad utama.

“Sukar untuk melakukan impak sekiranya terdapat tiga atau empat pemain bertaraf dunia dalam satu pasukan,” ujar Martinez. – Agensi