Misi tebus maruah di Vietnam

HANYA tinggal tiga ujian terakhir bakal ditempuh Harimau Malaya dalam misi mempertahankan Piala AFF Suzuki sebelum membuka tirainya penghujung bulan ini.

Malam ini, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal sekali lagi diuji skuad kebangsaan Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi sebelum berdepan Thailand (7 November) di tempat lawan dan juga Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 November depan.

Atas kertas, ia pastinya bukan satu tugas mudah, lantaran Vietnam kini dilihat bagaikan satu pasukan yang cukup berbeza.

Ia dapat dibuktikan apabila mereka mengejutkan Harimau Malaya 2-0 ketika bertemu di Stadium Shah Alam dalam aksi persahabatan pada 11 September lalu.

Justeru, skuad Harimau Malaya pastinya mahu menebus ‘aib’ mereka di bumi Vietnam malam ini.

Begitupun, kapten pasukan, Safiq Rahim tidak menganggap apa jua keputusan malam ini perlu dijadikan ‘kayu pengukur’ kemampuan skuad negara mempertahankan kejuaraan AFF Suzuki dua tahun lalu.

“Kalau menang lawan Vietnam (malam ini) termasuk dua lagi aksi persahabatan selepas ini tetapi gagal mempertahankan trofi pun tiada gunanya.

“Bagi saya, keserasian dan persefahaman kami beraksi sebagai satu pasukan sepanjang siri persahabatan ini sebenarnya lebih dijadikan keutamaan,” katanya sebelum berlepas ke Vietnam baru-baru ini.

Safiq memberitahu, ketika ini moral pasukan berada pada tahap tertinggi memandangkan turut beraksi sebagai tuan rumah pada kejohanan kali ini.

“Tekanan itu normal tetapi saya optimis rakan-rakan sepasukan sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, peledak berbisa negara, Safee Sali juga bertekad mahu mengulangi pencapaian peribadi merobek gawang Vietnam seperti mana yang dilakukannya pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010.

“Pertemuan menentang Vietnam pastinya menjanjikan satu aksi yang cukup istimewa. Jika menang sudah tentu ia menambah keyakinan kami dalam Piala AFF Suzuki nanti,” katanya.

Pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini, Malaysia selaku tuan rumah, diundi dalam Kumpulan B bersama Laos, Indonesia dan Singapura.

Mereka bakal membuka tirai kumpulan berdepan Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 25 November ini.

Saksikan perlawanan yang dijangka menarik ini jam 8 malam ini di sini