Menteri Belia dan Sukan sokong Rajagobal

Kemaman: Sokongan penuh harus diberi kepada skuad kebangsaan dan pengendalinya, Datuk K Rajagobal menjelang kempen mempertahankan Piala AFF Suzuki yang bermula dua minggu lagi di ibu negara.

Perkara itu ditegaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menaruh keyakinan tinggi terhadap keupayaan Rajagobal walaupun pengendali itu dibayangi dua kekalahan berturut-turut – kepada Vietnam dan Thailand, baru-baru ini.

Pada peringkat ini, kita perlu bersatu memberi sokongan kepada skuad kebangsaan,” Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan

Rajagobal yang menjadi pencetus kepada dua kejayaan sebelum ini, Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010 masih dianggap taruhan terbaik dalam misi mempertahan kejuaraan dan Shabery menyeru sokongan padu seluruh negara diberikan kepadanya.

“Kekalahan ini hanyalah pada perlawanan persahabatan,” kata Ahmad Shabery ketika diminta mengulas kekalahan 2-0 Malaysia di tangan Thailand di Bangkok Rabu lalu.

“Saya yakin menjelang kejohanan sebenar nanti skuad kebangsaan akan bangkit mempertahankan kejuaraan.

“Dua tahun lalu, kita tewas 5-1 pada perlawanan pertama tetapi bangkit melakar kemenangan sehingga menjulang kejuaraan. Pada peringkat ini, kita perlu bersatu memberi sokongan kepada skuad kebangsaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Fasa 3 untuk pelajar sekolah menengah Parlimen Kemaman, semalam.

Beliau juga meminta persatuan bola sepak negeri tidak mengabaikan pembangunan pemain muda dalam keghairahan membeli pemain tersohor untuk membarisi pasukan.

“Mengambil pemain tersohor dunia (seperti yang dilakukan persatuan bola sepak negeri sekarang) tidaklah asing sebab dalam liga besar di England dan Sepanyol juga lakukan perkara sama,” katanya mengulas senario persatuan bola sepak negeri yang kini rancak membeli pemain bagi menghadapi saingan liga musim depan.