Mayat wanita ditemui dalam bas

KUALA LUMPUR — Mayat seorang wanita ditemui dalam sebuah bas yang tersadai berhampiran kawasan Menara Majlis Perbandaran Kajang, Kajang, Selangor pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mayat wanita yang ditemui dalam keadaan masih berpakaian itu dipercayai telah mati kira-kira empat hari lepas berdasarkan keadaan mayat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak dicederakan ekoran tidak terdapat sebarang kesan kecederaan.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di kerusi bahagian tengah bas yang telah tersadai,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Ab Rashid berkata, polis menemui sebilah pisau dan kain tuala di tempat kejadian bagaimanapun polis masih menyiasat sama ada penemuan barang itu mempunyai kaitan dengan kejadian itu atau sebaliknya.

“Polis tidak menjumpai dompet serta kad pengenalan mangsa. Kita masih menyiasat sama ada mangsa warga tempatan atau asing,” katanya.

Mayat wanita itu telah dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. — BERNAMA