Mat Yo boleh tebus kontrak – FAM

HASRAT penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha untuk meninggalkan Kelantan bagi menyertai Johor pada musim depan semakin menjadi kenyataan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menjelaskan kontrak pemain bola sepak tempatan boleh ditamatkan secara sebelah pihak, sama ada oleh pemain atau pasukan mengikut peraturan yang tertera dalam Kontrak Pemain Bola Sepak.

Badan induk bola sepak negara itu menerusi satu kenyataan menjelaskan, mengikut Perkara 8.5 dan 8.6 kontrak terbabit, perkara itu boleh dilakukan dengan syarat pihak yang membatalkan kontrak hendaklah membayar ganti rugi keseluruhan baki nilai kontrak kepada pihak kedua.

“Pemain boleh memohon menamatkan kontrak secara sebelah pihak dan pasukan berhak mendapat ganti rugi menyeluruh baki nilai kontrak itu. Contohnya, jika jumlah baki kontrak adalah 12 bulan dan jumlah gaji pemain RM10,000 sebulan, pasukan berhak mendapat ganti rugi RM120,000,” menurut kenyataan itu.

Begitu juga sebaliknya, jika pasukan yang menamatkan kontrak secara sebelah pihak, pemain berhak mendapat gaji atau lain-lain bayaran imbuhan daripada seluruh baki nilai kontrak berkenaan dan pemain itu dibebaskan daripada semua aspek pentadbiran berkaitan kontrak berkenaan.

Andai berlaku pertikaian antara pemain dan pasukan asal, ia akan diselesaikan menerusi Jawatankuasa Status dan Pemindahan Pemain FAM, mengikut Peraturan Status dan Pemindahan Pemain FAM, Artikel 21, sekiranya kes terbabit dilaporkan kepada FAM.

Norshahrul yang kini bersama skuad negara di Thailand membantu Kelantan menjulang tiga piala musim ini, sebelum ini menyuarakan hasrat meninggalkan The Red Warriors walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun.

Selain bayaran terbabit, kenyataan FAM itu turut menyebut tiada peruntukan lain untuk mana-mana pihak membuat sebarang tuntutan tambahan.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran pemain yang masih mempunyai kontrak dengan pasukan asal perlu dirujuk kepada Peraturan Status dan Pemindahan Pemain, FAM, Artikel 18.

“Pasukan baru yang berhasrat menandatangani kontrak dengan pemain pasukan asal, hendaklah terlebih dulu memaklumkan kepada pasukan asal dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum kontrak tamat. Jika pasukan asal setuju, rundingan pasukan baru dan pemain pasukan asal boleh diadakan dan sebaliknya, jika tidak bersetuju.

“Namun jika pasukan asal masih tidak mengeluarkan notis melanjutkan kontrak kepada pemain dalam masa dua bulan sebelum kontrak tamat, pemain boleh berunding dan memasuki kontrak dengan pasukan baru tanpa mendapat kebenaran daripada pasukan asal.”