Man United dalam kelas tersendiri

BRAGA, Portugal – Manchester United boleh dianggap berada dalam kelas tersendiri dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Buktinya pada awal pagi semalam, skuad kendalian Alex Ferguson itu hanya menggunakan tempoh 10 minit terakhir untuk bangkit daripada ketinggalan sebelum mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab Portugal, Braga pada aksi keempat Kumpulan H di Stadium AXA.

Kejayaan menjaringkan tiga gol berturut-turut di penghujung permainan itu membolehkan skuad The Red Devils mengesahkan slot ke pusingan kalah mati lebih awal biarpun saingan peringkat kumpulan berbaki dua perlawanan lagi.

Kemenangan itu juga menyaksikan United berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan Kumpulan H itu selepas mengharungi empat perlawanan.

Ferguson sudah pasti merupakan individu paling gembira dengan kejayaan itu kerana dapat menyaksikan ketajaman sentuhan penyudah tiga penyerangnya, Robin van Persie, Wayne Rooney dan Javier Hernandez selepas masing-masing meledak satu gol.

Justeru, Ferguson yakin yang skuad The Red Devils kini berada di landasan tepat untuk sekali lagi merangkul kejuaraan Liga Juara- Juara selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2007/ 2008.

United juga pernah meraih dua gelaran juara iaitu pada musim 1967/1968 dan 1998/1999.

“Saya fikir dari aspek sejarah kelab ini (United), kami sepatutnya layak untuk merangkul kejuaraan Eropah sekali lagi.

“Saya mahu memenanginya sekali lagi dan sekali gus menyamai rekod pencabar terdekat kami, Liverpool selain Bayern Munich dan Ajax Amsterdam.

“Bagi saya, AC Milan dan Real Madrid perlu diasingkan daripada kelompok tersebut tetapi ia sudah pasti akan mendorong saya untuk melakar lebih banyak kejayaan di Eropah,” kata Ferguson.

Menurut Ferguson, beliau ternyata kecewa kerana gagal menambah koleksi kejuaraan dalam saingan Liga Juara-Juara meskipun berpeluang melakukannya sebelum ini.

“Saya memang kecewa apabila memikirkan peluang yang kami (United) miliki untuk memenangi gelaran juara sebelum ini. Namun, kamu tidak boleh terlalu tamak.

“Sepanjang karier, saya telah memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara dan trofi kejuaraan. Saya bangga dengan pencapaian tersebut,” kata Ferguson.

Pada aksi awal pagi semalam, United terlebih dahulu dikejutkan apabila Braga membuka tirai jaringan menerusi Alan yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49.

Van Persie yang dibawa masuk pada babak kedua ternyata tidak menghampakan apabila menyamakan kedudukan buat United menerusi jaringan pada minit ke-80.

Empat minit kemudian, skuad The Red Devils berada di depan selepas penyerang England, Wayne Rooney berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diperoleh.

Bintang muda Mexico, Javier Hernandez turut meletakkan namanya sebagai penjaring apabila meledak gol ketiga United pada masa kecederaan.

Highlight UEFA Champion League di sini