Mahkamah benar Lynas beroperasi

SEBAHAGIAN pekerja Lynas memanjat doa kesyukuran selepas mahkamah membenarkan operasi kilang Lynas di Kuantan semalam.

KUANTAN – Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) dibenarkan beroperasi selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang difailkan pada September lalu oleh tiga penduduk Kuantan semalam.

Hakim Datuk Mariana Yahya menolak permohonan injunksi interim tersebut dengan alasan masih terlalu awal untuk mencabar Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam pemberian TOL kepada LAMP.

“Masih terlalu awal untuk mempertikai status TOL bagi kes ini dan adalah lebih sesuai jika pertikaian dibuat dalam semakan kehakiman.

“Ini kerana, kes ini bukan melibatkan keputusan menteri (MOSTI) kerana LAMP (menjadi pihak) yang akan terlibat dalam apa-apa keputusan mahkamah,” kata Mariana.

Beliau menambah, bagi penyelesaian, LAMP perlu dijadikan pihak dalam semakan kehakiman dan penduduk Kuantan pula memfailkan permohonan injunksi terhadap LAMP dan bukan kepada MOSTI.

Sementara itu, peguam Datuk Bastian Vendargon yang mewakili penduduk Kuantan membuat permohonan lisan bagi menolak keputusan mahkamah dengan alasan LAMP akan menyebabkan kerosakan terhadap manusia dan alam sekitar.

PEMANDANGAN salah satu tempat di kawasan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Mariana bagaimanapun menyarankan permohonan tersebut dilakukan secara formal dan bertulis untuk didengari di mahkamah supaya pihak-pihak terlibat boleh mengemukakan hujah.

Bastian semasa ditemui di luar mahkamah berkata, rayuan terhadap keputusan itu akan difail dalam tempoh terdekat.

Penduduk Kuantan turut diwakili peguam Hon Kai Ping, R. Sarengapani, Anne Marie dan Gene Anand Vendargon, manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, Datin Noor Azzah Abdul Aziz dan Laila Muhamad Bostaman.

LAMP pula diwakili peguam Sunil Abraham, Wong Kah Hui dan Emily Chin.

Pengarah Urusan LAMP, Datuk Mashal Ahmad ketika ditemui pemberita selepas mahkamah membuat keputusan tersebut berkata, segala kesulitan menghadapi isu dicanang pihak tertentu mendakwa kilang memproses bahan nadir bumi itu menyebabkan radiasi sebelum ini sudah berakhir.

“Selepas mahkamah membuat keputusan, kita akan memberi tumpuan kepada memulakan operasi kilang secepat mungkin,” ujar beliau.