Liverpool perlukan azimat Gerrard

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers percaya banyak lagi yang mampu dilakukan Steven Gerrard menjelang penampilan ke-600 bersama kelab pada pertemuan menentang Newcastle di Anfield, malam ini.

Gerrard, 32, dianggap sebagai antara pemain terhebat Liverpool tapi meskipun pernah menjuarai Liga Juara-Juara bersama pasukan Merseyside itu pada 2005, dia masih gagal merangkul gelaran domestik.

Pemain tengah itu dua kali menolak tawaran untuk menyertai Chelsea iaitu pada 2005 dan 2006, kini dijangka menamatkan kerjayanya bersama kelab yang juga kampung halaman pemain itu.

Kesetiaannya terhadap Liverpool setanding dengan kepentingannya untuk kelab itu dan Rodgers mengaku kesediaan Gerrard yang juga kapten England untuk memperbaiki permainan biarpun usianya semakin lanjut ketika ramai pemain lain mula memikirkan persaraan, meletakkannya jauh di depan.

“Gerrard beraksi cemerlang sejak hari pertama saya menyertai kelab ini.

“Dia kini sudah berusia 32 tahun, kapten pasukan England dan baik saya mahupun Gerrard masih mencari jalan untuk memperbaiki corak permainannya dan itu membuatnya dihormati kerana banyak yang dicapainya dalam perlawanan.

“Kami melihat video, menganalisis setiap permainannya bersama-sama dan mencari jalan supaya dia dapat meningkatkan persembahan. Banyak yang boleh saya katakan mengenainya, mentalitinya serta kesanggupannya untuk memperbaiki diri.

“Saya pernah berkata sebelum ini dan akan menyebutnya sekali lagi, dia adalah ikon kelab bola sepak ini dan berharap dapat membuat penampilan ke-600 pada perlawanan ini.

“Banyak lagi yang boleh dilakukannya disebabkan semangat yang dimiliki apatah lagi dia memiliki tahap mental dan fizikal terbaik,” kata Rodgers.

Skuad Reds menang tujuh perlawanan terakhir menentang Newcastle di laman sendiri tapi menjaring kurang daripada tiga gol dalam dua daripada perlawanan itu.

Newcastle pula dijangka kehilangan khidmat penjaring terbanyak, Demba Ba bagi merealisasi misi memburu kemenangan pertama di Anfield dalam tempoh 18 tahun.

Pemain Senegal itu mengalami kecederaan betis yang menyebabkan dia tidak dapat meneruskan permainan sewaktu mereka mengatasi West Brom, 2-1 hujung minggu lalu yang melonjakkan kelab itu ke kelompok atasan Liga Perdana Inggeris. – AFP