Lelaki didakwa merogol 2 orang dalam sehari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai perogol bersiri dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, sebulan selepas didakwa merogol dua wanita yang dikatakan dipanggil untuk ditemuduga olehnya di mahkamah sama.

Semalam, dia didakwa pula atas dua tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun sebanyak dua kali dalam tempoh 20 minit, di sebuah bilik hotel di Taman Segar, Cheras di sini, jam 2.10 petang dan 2.30 petang, 15 September lalu.

Bagaimanapun, Chai Ruong Huei, 29, yang bekerja sebagai jurujual itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dia turut didakwa mencuri iPad milik pelajar tingkatan empat itu dengan tujuan menyebabkan ketakutan kepada mangsa di tempat dan hari sama pada jam 2.40 petang.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, memandangkan lelaki itu sudah dituduh bagi tiga kes lain dan mempunyai kes yang masih di peringkat siasatan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Yusoff Ag Lah itu bagaimanapun mohon diberikan jaminan kerana menanggung keluarganya termasuk ibu yang tidak bekerja.

Emelia kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Chai didakwa merogol mangsa berumur 21 tahun pada 15 dan 16 Sept dan pelajar berusia 19 tahun pada 25 Oktober yang lalu. Semua sekali 5 tuduhan merogol dalam tempoh sebulan.