Korban pemandu budak 14 tahun

JASIN – Tindakan berani seorang pelajar tingkatan dua memandu kereta bapanya mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta menyebabkan dia dan tiga lagi maut dalam nahas di Kilometer 38.5, Jalan Air Panas-Kesang dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan berlaku pada pukul 11.15 malam.

Mereka yang maut ialah Mohd. Hafiz Helmi, 14; pemandu Perodua Myvi, Mohd. Shahir Mat Sahat, 27, dan dua rakannya, Hairul Nizam Alias, 34, serta Mohammad Izzuddin Usop, 21.

Beliau berkata, kereta Toyota Corolla yang dipandu Mohd. Hafiz dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Perodua Myvi.

Mohd. Hafiz yang merupakan pelajar tingkatan dua SMK Iskandar Shah, Jasin, dikatakan baru memandu sejauh 700 meter dari rumah mereka di Rumah Awam, Kesang sebelum kemalangan berlaku.

“Arwah selama ini tidak pernah memandu kereta, apatah lagi meminta saya mengajarnya,” kata Helmi Othman, 42, bapa kepada Mohd Hafiz, 14, yang maut dalam kemalangan ngeri itu.

Difahamkan, kereta Toyota Corolla yang bertembung dengan Perodua Myvi dinaiki tiga sahabat itu dipandu pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, di sini, hingga menyebabkan dia tercampak ke tempat duduk penumpang.

Menurut Helmi, dia kali terakhir menemui anak kedua daripada tiga beradik itu, jam 8.30 malam kelmarin, yang memakan mi segera masakannya sendiri di rumah mereka di Taman Kesang Damai, di sini.

“Pada waktu itu, saya tiada melihat perubahan ketara pada dirinya dan turut tidak bercakap apa-apa yang pelik sebelum dia (arwah) keluar dari rumah.

“Saya kemudian melelapkan mata dan tidak mengetahui apa berlaku sebelum tersentak dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan kereta saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Jasin, di sini, semalam.