Kebangkitan Arsenal dalam “Hall of Fame”

ARSENAL mempamerkan kejutan luar biasa semalam apabila bangkit daripada ketinggalan 0-4 untuk menyingkirkan Reading daripada Piala Liga dengan penuh bergaya.

Lima perlawanan di bawah ini turut mempamerkan kebangkitan luar biasa.

Manchester United 2 Bayern Munich 1 (final Piala Eropah, Nou Camp, 1999)

United ketinggalan hampir sepanjang perlawanan selepas gagal bangkit untuk menebus jaringan Mario Basler pada minit keenam menerusi sepakan percuma.

Begitupun dalam penyudah paling menakjubkan dalam sejarah kejohanan, United berjaya menjadikan perlawanan itu memihak mereka.

Pemain gantian, Teddy Sheringham menyamakan kedudukan menerusi jaringan dari jarak lapan ela, hasil sepakan sudut David Beckham manakala seorang lagi pemain gantian, Ole Gunnar Solskjaer merembat bola ke bahagian atas gawang untuk mencipta suasana penuh menakjubkan.

Tottenham 3 Manchester City 4 (perlawanan ulangan pusingan keempat Piala FA, White Hart Lane, 2004)

City menghasilkan satu daripada kebangkitan hebat dalam sejarah Piala FA apabila bangkit daripada ketinggalan tiga gol dan kurang seorang pemain pada separuh masa pertama untuk memenangi perlawanan itu. Ledley King, Robbie Keane dan Christian Ziege menjaringkan gol dalam tempoh 43 minit sebelum pemain City, Joey Barton dibuang padang selepas wisel separuh masa kerana bertelagah.

Begitupun, City mempamerkan aksi separuh masa kedua yang lebih mantap dan menang menerusi jaringan Sylvain Distin, Paul Bosvelt, Shaun Wright-Phillips serta tandukan pada minit terakhir daripada Jon Macken.

Tranmere 4 Southampton 3 (perlawanan ulangan pusingan kelima Piala FA, Prenton Park, 2001)

Hassan Kachloul, Jo Tessem dan Dean Richards memberikan Saints jaringan pendahuluan 3-0 pada separuh mana pertama dan Tranmere dilihat bagaikan tidak mempunyai harapan. Paul Rideout, yang mengetuai skuad Everton untuk menjuarai Piala FA 1995 ke atas Manchester United, mencetuskan kebangkitan Rovers dengan menjaringkan gol selepas sejam perlawanan. Tandukan Rideout pada minit ke-70 menjadikan kedudukan 3-2 sebelum menyamakan kedudukan menerusi jaringan hatrik, 10 minit kemudian. Pemain gantian, Stuart Barlow memastikan kemenangan Tranmere dengan jaringannya tujuh minit sebelum tamat.

QPR 5 Newcastle 5 (Divisyen Satu, 1984)

Dengan kedudukan 4-0 pada separuh masa pertama dan Chris Waddle berada pada prestasi terbaik, Newcastle dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi perlawanan itu. Begitupun, QPR mempunyai idea lain. Gary Bannister, John Gregory dan satu jaringan ke gawang sendiri mencerahkan harapan pasukan tuan rumah, sebelum Kenny Wharton mengembalikan kedudukan Newcastle sebagai pendahulu perlawanan dengan baki enam minit. Begitupun QPR masih belum patah semangat apabila jaringan Steve Wicks dan Gary Micklewhite memastikan pasukan tuan rumah pulang dengan satu mata.

Tottenham 3 Manchester United 5 (Liga Perdana Inggeris, 2001)

Spurs mengejutkan pasukan juara pada separuh masa pertama apabila mendahului 3-0 menerusi jaringan Dean Richards, Les Ferdinand dan Ziege. Begitupun, United tampil berbeza pada separuh masa kedua, mengetepikan tuan rumah menerusi jaringan Andy Cole, Laurent Blanc, Ruud van Nistelrooy, Juan Sebastian Veron dan David Beckham.

Sumber