KAFA berat hati lepaskan Mat Yo

Kota Bharu: Perjalanan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, yang dikatakan berminat untuk menyarung jersi Johor pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan masih jauh.

Ini kerana pemain itu dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu menunggu sehingga Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mula berlembut mengkaji terlebih dahulu terma perjanjian sama ada Mat Yo boleh menebus baki kontraknya atau tidak.

Tindakan itu diambil kerana Mat Yo masih mempunyai kontrak dengan Kelantan dan kontrak itu cuma akan tamat akhir tahun depan,” – Rosmadi Ismail. Naib Presiden KAFA

Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail, berkata pihaknya sudah menyerahkan tugas meneliti kontrak pemain itu dengan Kelantan kepada peguam persatuan.

“Langkah itu diambil bagi memastikan tidak wujud pelanggaran syarat dan terma perjanjian ketika pemain terbabit menebus balik kontraknya,” katanya semalam.

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai PBNJ akan menebus baki kontrak penyerang The Red Warriors itu dengan KAFA bagi memastikan pemain berkenaan dapat beraksi bersama Harimau Selatan musim depan.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan), berkata PBNJ sedia membayar baki kontrak setahun pemain itu dan tidak akan berputus asa mendapatkan khidmatnya walaupun KAFA enggan melepaskan Pemain Terbaik Final Piala Malaysia itu.

Rosmadi mengakui sebelum ini KAFA menolak permohonan yang dikemukakan PBNJ untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

“Tindakan itu diambil kerana Mat Yo masih mempunyai kontrak dengan Kelantan dan kontrak itu cuma akan tamat akhir tahun depan,” katanya yang menafikan ia ada kaitan dengan dakwaan KAFA menuntut Johor membayar lebih daripada RM1 juta bagi menebus kontrak pemain berkenaan.

“Oleh kerana PBNJ masih mahu mendapatkan khidmat pemain itu, kami sedia berunding lagi.

Bagaimanapun, kami hanya akan melepaskan pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai 2012 itu kepada Johor jika ada klausa dalam perjanjian yang membenarkan baki kontrak setahun pemain itu boleh ditebus.” Beliau berkata, adalah merugikan Red Warriors jika pemain yang sudah tawar hati itu terus dikekalkan kerana ia boleh menjejaskan prestasinya dan pasukan. – BH