Juruukur bahan hina Sultan Johor dalam FB

JOHOR BAHRU — Seorang juruukur bahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas.

Ahmad Abd. Jalil, 27, yang berasal dari Klang, Selangor, membuat pengakuan itu di depan Hakim Zamri Bakar selepas pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 Nov depan untuk menyebut semula kes.

Ahmad didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman Facebook yang didaftarkan atas nama ”Zul Yahya” di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira pukul 3 petang, 21 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.

Ahmad juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira pukul 6 petang, 10 Oktober lalu.

Suspek berusia 27 tahun ditahan dengan kerjasama polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman dalam serbuan di sebuah premis di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat lalu.
Serbuan di Damansara

Polis turut merampas sebuah komputer dan peralatannya bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata susulan itu, polis melancarkan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Damansara Damai, juga di ibu negara, tetapi tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan.

Media sebelum ini melaporkan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Johor dan Pemuda UMNO Bahagian Pulai membuat laporan polis terhadap satu akaun Facebook atas nama ‘Zul Yahya’ yang didakwa menghina Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pemilik akaun Facebook itu didakwa mengeluarkan perkataan kesat serta menghina Sultan Johor mengenai kedudukan baginda yang mengetuai Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi laman sosial berkenaan, 12 Oktober lalu.