‘Jangan jadi jaguh kampung’ – Rajagobal

ADA misi ‘serampang dua mata’ buat pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal (gambar) menjelang aksi perlawanan persahabatan menentang Vietnam di Hanoi, malam esok.

Pertama, Rajagobal bertekad untuk melunaskan ‘hutang’ lama dengan skuad Vietnam selepas tewas 0-2 di Stadium Shah Alam September lalu.

Kedua, bekas jurulatih Selangor itu berazam untuk mencatatkan kemenangan di gelanggang lawan meskipun dijangka tidak akan menurunkan skuad utama Harimau Malaya.

Rajagobal memberitahu, beliau menuntut barisan pemain mengubah sikap serta mentaliti yang lebih tinggi dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki pada tahun ini.

Jelasnya lagi, beliau tetap tidak akan menunjukkan ‘kekuatan’ sebenar dan masih terus menguji barisan pemain-pemain sebelum menyenaraikan 22 pemain ke kejohanan tersebut pada bulan ini.

“Kita mahu tampil hebat sama ada ketika beraksi di gelanggang sendiri mahupun lawan. Sudah tiba masanya skuad negara mempamerkan kualiti yang tersendiri.

“Kita ada bakat dan saya menuntut semua pemain mengubah mentaliti menjadi lebih kuat ketika menentang mana-mana pasukan.

“Saya percaya Loas, Singapura dan Indonesia akan menghantar ‘pengintip’ untuk memantau keupayaan skuad negara tetapi jangan risau, kita masih belum menunjukkan ‘kekuatan’ yang sebenar pada pihak lawan.

“Kita tetap dahagakan kemenangan ketika menentang Vietnam. Justeru, saya percaya mereka akan memberikan aksi terbaik nanti,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Rajagobal yakin persiapan skuad negara berjalan dengan lancar dan kekal optimis dalam usaha mempertahankan mahkota piala berprestij ASEAN itu.

“Tidak dapat dinafikan, kesemua pasukan (yang beraksi pada Piala AFF Suzuki) telah menunjukkan peningkatan.”

Saksikan perlawanan Vietnam bertemu Malaysia secara live di sini