Harimau Muda capai sasaran lima teratas

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Muda menamatkan saingan Liga Singapura 2012 dengan kekalahan 1-0 kepada Tampines Rovers dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar, semalam.

Jaringan tunggal melalui penalti Fahrudin Mustafic pada minit ke-41 selepas Aleksandar Duric dijatuhkan sudah mencukupi buat pasukan bimbingan Tay Peng Kee mengesahkan kejuaraan Liga Singapura tanpa mengambil kira pertemuan pencabar terdekat, Brunei DPMM.

Keputusan itu juga bermakna Harimau Muda belum pasti dapat mengakhiri saingan pada tangga ketiga kerana pasukan di tempat keempat, Albirex Niigata akan menentang Gombak United, esok.

Menang atau seri dalam perlawanan itu akan menyaksikan kedudukan Harimau Muda akan dipintas dan akan berada di tempat keempat namun jika Albirex tewas, slot tiga pasukan terbaik akan menjadi milik skuad Ong Kim Swee.

Namun walau apa pun keputusan perlawanan antara Albirex dan Gombak, sasaran Kim Swee yang mahu melihat Harimau Muda berada di kalangan lima pasukan teratas pada tahun ini, sudah berjaya dicapai.

Sepanjang 24 perlawanan, Harimau Muda berjaya merakamkan 13 kemenangan, tiga keputusan seri dan lapan kekalahan bagi memungut 42 mata.

Turun tanpa empat pemain utama yang membantu Harimau Malaya dalam dua perlawanan persahabatan menjelang Piala Suzuki AFF 2012, skuad Kim Swee tetap berjaya menampilkan persembahan terpuji sehingga berjaya membendung asakan bertali arus Tampines.

Namun, ketumpulan serangan yang ditunjangi Ahmad Hazwan Bakri menyebabkan skuad Harimau Muda terpaksa berputih mata tanpa sebarang percubaan berbahaya dapat dilakukan kecuali rembatan jarak jauh Mohd. Syahid Zaidon pada separuh masa kedua yang dapat diselamatkan penjaga gol Tampines, Sasa Dreven.

Dalam satu lagi perlawanan, Brunei DPMM tewas 0-2 kepada Balestier Khalsa di Stadium Hassanal Bolkiah sekali gus sekadar terpaksa berpuas hati selaku slot naib juara.

Saksikan highlights di sini