Harimau Malaya semakin parah

KEBIMBANGAN semakin memuncak buat peminat bola sepak tempatan selepas dihidang aksi longlai skuad negara yang kecundang 0-2 kepada Thailand dalam aksi persahabatan di Bangkok, malam tadi.

Kekalahan di Stadium Muang Thong itu hadir selepas kecundang 0-1 kepada Vietnam dalam satu lagi aksi persahabatan, Sabtu lalu ketika saingan sebenar mempertahankan Piala AFF hanya berbaki kurang tiga minggu lagi.

Lebih membimbangkan, ketumpulan jentera serangan terus menghantui skuad kendalian Datuk K Rajagobal apabila gagal mengancam kubu lawan dengan gerakan berbahaya secara konsisten hingga penjaga gol lawan lebih banyak berehat dengan ujian sebenar baginya hadir menerusi percubaan dua pemain gantian, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada separuh masa kedua.

Pada perlawanan malam tadi, Rajagobal melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding senarai pemain yang tewas 0-1 kepada Vietnam, termasuk merehatkan kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat yang berada di bangku simpanan dengan Mohd Safee Sali diberi kepercayaan menjadi kapten.

Ketiadaan Safiq yang juga perancang utama skuad negara menyebabkan barisan tengah skuad negara yang dikemudi Gary Steven Robbat seolah-olah hilang punca dan gagal mengatur sebarang gerakan menarik untuk mengancam kubu lawan ketika Norshahrul Idlan Talaha dan Safee amat dahagakan jaringan selepas gagal meledak ketika berdepan Vietnam. Kesilapan penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias membawa padah apabila membuka peluang kepada pemain pertahanan Thailand, Prayat Bunya meledak jaringan pada minit ke-26.

Pemain kelab Ratchanburi FC itu meluru pantas menyambut hantaran sepakan sudut rakan sepasukan ketika Farizal dilihat lambat menutup ruang yang dimiliki Prayat untuk meledak jaringan buat tuan rumah yang turut berada dalam fasa akhir persiapan menghadapi Piala AFF.

Malah Thailand yang dikendalikan Winfried Schafer mendapat beberapa peluang keemasan melebarkan kedudukan menerusi beberapa serangan balas ketika barisan skuad negara masih tercari-cari rentak mengimbangi corak permainan lawan yang bertali arus mengancam benteng negara.

Barisan pemain negara turut gagal mengambil kesempatan apabila Thailand beraksi 10 pemain pada minit ke-72 selepas Adul Lahsoh dibuang padang apabila lawan sebaliknya menggandakan jaringan menerusi rembatan kencang Arthit Sunthornphit dari luar kotak penalti pada minit ke-80 bagi menewaskan Farizal buat kali kedua.

Kekecewaan bertambah memuncak buat pemain negara apabila Mohd Aidil Zafuan Adha Abd Radzak dilayangkan kad kuning kedua lima minit selepas lawan meledak jaringan itu.

Skuad negara dijangka kembali hari ini dengan Hong Kong menjadi lawan terakhir Rabu ini sebelum memulakan kempen Kumpulan B mempertahankan Piala AFF di Kuala Lumpur menentang Indonesia, Singapura dan Laos.