Harimau mahu ‘atasi ketumpulan’

KETUMPULAN jentera serangan negara ketika menentang Vietnam perlu segera diperbaiki apabila menentang Thailand dalam aksi persahabatan malam ini.

Teguran pengendali negara, Datuk K Rajagobal wajar dipandang serius ketika saingan sebenar untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFF berbaki kurang tiga minggu lagi.

“Saya melihatnya secara positif. Teguran itu mungkin cabaran untuk kami mencipta lebih banyak peluang dan memanfaatkannya, tidak seperti ketika menentang Vietnam,” kata pemain sayap negara, Azamuddin Md Akil yang kini bersama skuad negara di negara Gajah Putih itu.

Katanya, mereka kini berazam memburu kemenangan pada aksi malam ini selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Vietnam dalam aksi persahabatan.

“Bagi saya, kami perlu menang demi menjaga maruah negara. Ia juga bagi mengembalikan keyakinan menghadapi Piala AFF,” kata pemain yang turut mempunyai kebolehan beraksi di posisi penyerang itu.

Pada perlawanan bertemu Vietnam Sabtu lalu, jentera serangan skuad negara diketuai Norshahrul Idlan Talaha bersama Mohd Safee Sali dengan Azamuddin bertindak sebagai pemain sayap.

“Saya tidak kisah bermain di mana-mana posisi dengan fokus memberikan yang terbaik kerana tidak mahu menjadi penumpang dalam pasukan,” katanya yang beraksi di posisi penyerang apabila bersama Pahang dalam saingan liga domestik.

Perlawanan menentang Thailand turut dijangka membuka peluang kepada beberapa pemain membuktikan kemampuan dengan tiga tonggak utama iaitu dua pertahanan tengah, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Fadhli Shas selain pemain tengah, Amar Rohidan mengalami kecederaan.

Antara yang berpotensi untuk diturunkan menentang skuad kendalian jurulatih berpengalaman dari Jerman, Winfried Schafer adalah Mohd Faizal Muhammad dan Amirizwan Taj Tajuddin di bahagian pertahanan tengah dan perancang Kelantan, Mohd Shakir Saari berganding bersama Mohd Safiq Rahim.

Rajagobal turut mengharapkan barisan pemain mempamerkan peningkatan berbanding aksi menentang Vietnam pada Sabtu lalu sekali gus mencerminkan pemain bersedia pada segenap aspek menghadapi Piala AFF nanti.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan berakhir seri tanpa jaringan dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF 2010 yang menyaksikan Malaysia muncul juara kejohanan terbabit buat kali pertama.

Saksikan perlawanan ini secara langsung di sini, sini dan sini.