Hanya empat sahut pelawaan Pahang

Kuantan: Hanya empat pemain luar mengesahkan berminat beraksi bersama skuad Pahang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Mereka adalah Mohd Amirul Hadi Zainal, Azidan Sarudin dan Mohd Razman Roslan, masing-masing dari Selangor manakala Mohd Nasril Nourdin dari Perak.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, berkata kehadiran empat pemain itu diyakini mampu memberi impak besar terhadap skuad itu selepas layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Katanya, dengan gabungan pemain sedia ada diharap memberi petanda positif dalam skuad kendaliannya itu bagi memburu kejayaan musim depan.

“Bagaimanapun, sama ada tambahan pemain luar akan bersama skuad Tok Gajah juga bergantung kepada keadaan.

“Setakat ini, hanya empat pemain iaitu tiga dari Selangor dan seorang dari Perak bersama memperkuatkan Pahang musim depan,” katanya semalam.

Pahang tidak melanjutkan kontrak tujuh pemain termasuk penjaga gol utama, Wan Muhd Azraei Wan Teh yang berhijrah ke Terengganu serta dua pemain import, Boris Kochkin dan Maycon Carvalho Inez.

Namun, kesetiaan Mohd Azamuddin Md Akil dan R Gopinathan yang juga pemain kebangsaan serta pemain paling senior, Jalaluddin Jaafar diyakini membantu memperkuatkan jentera skuad itu.

Bagi memastikan skuad Pahang benar-benar mantap musim ini, Dollah mengesahkan kuota dua pemain import akan diisi yang lebih terarah di barisan serangan.