Gerrard masih simpan hasrat beraksi di bawah Mourinho

Liverpool: Kapten Liverpool, Steven Gerrard semalam membuat kenyataan sensasi apabila mendedahkan masih menyimpan hasrat beraksi di bawah kendalian jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho. Mourinho digelar ‘Yang Teristimewa’ adalah individu yang mengagumi bintang Liverpool itu sejak sekian lama.

Malah, Gerrard hampir menyertai Chelsea pada musim 2004 dan 2005 yang ketika itu dikendalikan Mourinho apabila sering kali dipujuk pengendali dari Portugal itu.

Mourinho tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan Gerrard sehingga pernah berkata, dia tidak faham mengapa pemain berusia 32 tahun itu tetap mahu kekal bersama Liverpool yang gagal mengecap kejayaan.

Belum pernah julang trofi EPL
Namun, Gerrard tiba-tiba menyuarakan keinginan dengan berkata: “Saya berhasrat untuk beraksi di bawah kendalian Mourinho, ‘Yang Teristimewa’.”

Biarpun sudah memenangi trofi Liga Juara-Juara, Piala UEFA, Piala FA dan Piala Liga sepanjang 14 tahun bersama Liverpool, Gerrard masih belum memiliki pingat kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekurangan kejayaan meraih kejuaraan besar sepanjang di Anfield mendorong pasukan handalan Eropah sentiasa cuba memikat Gerrard, namun dia tetap setia dengan kelab yang disokongnya sejak zaman kanak-kanak itu.

Ketika ditanya mengenai minat Mourinho terhadapnya ketika pengendali itu menjadi pengurus Chelsea, Gerrard berkata: “Liverpool benar-benar tidak mencabar ketika itu, jadi sesuatu perlu difikirkan. Tapi saya tetap katakan tidak dan setahun kemudian saya sekali lagi berkata tidak.

“Tapi dia (Mourinho) datang lagi apabila tiba di Madrid, dua tahun lalu.” – Agensi