Felda United ambil langkah drastik gugur 23 pemain, pegawai

KUALA LUMPUR – Selepas meraih prestasi suam-suam kuku pada saingan Liga Malaysia 2012, pengurusan bola sepak Felda United seolah-olah melakukan satu revolusi bagi persiapan musim depan dengan menggugurkan hampir keseluruhan pegawai termasuk pengurus, jurulatih dan 23 pemain.

Hanya dua pemain, Azrul Ahmad dan Mohd. Nizam Abu Bakar kekal dalam perancangan jurulatih baru, K. Devan dengan pengambilan sejumlah besar pemain baru.

Selain ketiadaan Pengerusi Kelab Bola Sepak Felda United, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang perkhidmatannya diberhentikan, tiada lagi kelibat Faisal Zakariah yang bertindak selaku penolong pengurus sebelum ini.

Menurut sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, rombakan besar-besaran itu susulan daripada pelantikan Pengarah Besar Felda Holdings Berhad yang baru berkuatkuasa 1 September lalu yang mahu melihat perubahan dalam pengurusan pasukan bola sepak Felda United.

“Pengurusan baru ini bukan sahaja tidak mahu pegawai-pegawai lama masih berada dalam pasukan Felda United musim depan tetapi tidak mahu menggunakan pemain sedia ada.

“Itu yang menyebabkan penyingkiran hampir semua pemain termasuk berstatus kebangsaan yang berada dalam pasukan biarpun beraksi dengan baik pada musim lalu dan mereka semua kelihatan menjadi mangsa keadaan.

“Buat masa ini, Devan difahamkan telah selesai memilih pemain-pemain baru yang ketika ini hanya mengekalkan Azrul (Ahmad) dan Nizam (Abu Bakar) dalam pasukan,” katanya sumber berkenaan ketika dihubungi, semalam.

Apabila ditanya adakah situasi itu boleh menjejaskan rentak Felda bagi bermain musim depan, sumber itu terbabit menjelaskan, itu bergantung kepada pengurusan baru mencorakkan kembali pasukan itu yang boleh dikatakan 95 peratus akan berwajah baru.

“Barisan lama sebelum ini mempunyai ramai pemain yang mantap tetapi nampaknya bagi musim depan mereka lebih rela mencari muka-muka baru yang belum pasti akan memberikan hasil yang baik atau tidak,” katanya.

Felda menduduki tangga ke-10 pada saingan Liga Super musim lalu dan berjaya menyelamatkan diri daripada bersaing dalam slot playoff bersama Sarawak, Sabah dan Kedah yang terpaksa diturunkan ke saingan Liga Perdana musim depan.

Namun, Felda meraih perhatian banyak pihak apabila hampir menyingkirkan Kelantan pada saingan suku akhir Piala Malaysia tetapi dinafikan dengan jaringan lewat Muhammad Ghaddar.

Antara-antara pemain ternama yang beraksi dalam pasukan Felda United musim lalu ialah Ahmad Fakri Saarani, Yong Kuong Yong, Hardi Jaafar, Mohd. Hamsani Ahmad dan Farderin Kadir.