FAM membenarkan pemain ke luar negara

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah menghalang mana-mana pemain di negara ini untuk beraksi di luar negara.

Bagaimanapun Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, setiap tawaran perlu melalui proses tertentu dan perbincangan lanjut perlu diadakan antara FAM, pemain dan
pengurusan kelab berkenaan.

“Kita perlu melihat kesesuaian masa dan pemain itu sendiri. Perkara sebegini tidak boleh dilakukan tergesa-gesa kerana kita perlu patuhi beberapa prosedur.

“Tiga hari lepas saya ada berbincang dengan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan dia juga ada menyatakan beberapa pemain yang menjadi perhatian kelab di Liga Portugal,” katanya.

Menurut laporan sebelum ini, seramai enam pemain yang beraksi dalam skuad Harimau Muda A menarik perhatian beberapa kelab di Liga Portugal dan ada yang membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan.

Pengurus peribadi Ahmad Fakri Saarani, Faisal Zakariah berkata, pelawaan itu datangnya daripada kelab yang beraksi di Divisyen 1 dan 2.

“Saya tidak menolak berkemungkinan akan ada pemain negara ini beraksi di liga luar dalam tempoh terdekat,” katanya.

Kelmarin, penyerang Harimau Malaya, Ahmad Fakri, disahkan bakal menyarung jersi Atletico Sporting Club selama enam bulan dan beliau dijangka berangkat ke Portugal sebaik aksi Piala AFF Suzuki berakhir, hujung tahun ini.

Sumber