Dunia terpedaya, Jones hebat kerana dadah

BEBERAPA tahun lalu, dunia  sukan  dikejutkan dengan pengakuan jaguh lumba lari pecut wanita terkemuka Amerika Syarikat, Marion Jones bahawa beliau telah mengambil dadah ketika bertanding di Sukan Olimpik Sydney 2000.

Ketika itu beliau berjaya membolot tiga emas dan dua pingat gangsa, satu pencapaian terbaik yang pernah dicapai bagi seseorang atlet yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik.

Malah, Jones dianggap sebagai antara atlet wanita terbaik pernah disaksikan dunia sukan.

Bagaimanapun, apabila skandal pengambilan bahan terlarang (steroid) membabitkan Jones terbongkar, tiba-tiba sahaja reputasinya menjunam malah kerjayanya selaku pelari pecut menuju ke ‘garisan penamat’.

Lucut gelaran

JONES secara rasminya dibatalkan penyertaan dalam semua kejohanan yang disertainya sejak 1 September 2000 termasuk Sukan Olimpik Sydney yang mana pelari pecut itu merangkul lima pingat selepas mengaku mengambil dadah terlarang.

Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) turut mengarahkan semua gelaran juara Jones sepanjang tempoh tersebut juga dilucutkan.

Itu berlaku selepas atlet tersebut mengaku mengambil steroid tetrahydrogestrinone sebelum Olimpik 2000.

Jones  memenangi emas dalam acara 100 meter, 200 meter, kuartet 4×400 meter serta gangsa dalam lompat jauh dan 4×100 meter pada temasya 2000 turut digantung selama dua tahun.

Menyesal

JONES kini berusia 37 tahun berharap dia dapat masuk ke mesin masa supaya mampu mengubah ‘beberapa perkara silam’, walaupun dia juga amat berbangga dengan apa yang dicapai dirinya.

Dalam temu bual sempena pelancaran buku tulisannya, dia meminta maaf kerana menipu pegawai penyiasat mengenai penggunaan steroid, salah satu sebab dia meringkuk enam bulan di dalam penjara pada 2008.

“Saya benar-benar berharap saya tidak akan menipu. Itu yang saya kesalkan,” katanya.

Bukunya yang bertajuk On the Right Track, mengandungi coretan pengalaman perit Jones ketika di penjara, terutama dikurung seorang diri selama sebulan setengah.

Dia menyifatkan detik itu sebagai ‘pengalaman paling buruk dalam hidup’. Jones berkata, pada saat itu dia merasakan sudah tidak mampu meneruskan hidup lagi apabila kejayaan lalu lenyap begitu sahaja.

TRIVIA

LAHIR pada 12 Oktober 1975 di Los Angeles, California. Pada Oktober 2007, Jones mengaku mengambil steroid ketika Olimpik Sydney 2000 di Sydney dan dengan itu digantung selama 2 tahun.

Pada 5 Oktober 2007, dia mengaku bersalah kerana berbohong kepada pegawai penyiasat persekutuan di BALCO dalam Mahkamah Daerah Amerika Syarikat.

Jones mengumumkan persaraannya daripada balapan dan padang pada hari yang sama.