Daudsu: Rezeki ada di mana-mana

Daudsu Jamaluddin telah membuat keputusan untuk kekal dengan Kelantan pada musim depan.

Pemain pertahanan skuad The Red Warriors itu bersama dengan Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha telah dikaitkan dengan pasukan Johor bagi musim depan.

Namun, beliau telah membuat keputusan untuk kekal di Kelantan kerana lebih mementingkan keluarganya.
“Setelah berfikir semasak-masaknya, akhirnya buat keputusan kekal bersama Kelantan. Mungkin wang amat penting dalam kehidupan, tetapi keluarga saya adalah segala-galanya ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga akui menerima tawaran yang tinggi dari Johor yang akan menandatangani Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Azmi Muslim, Muslim Ahmad dan juga Safiq Rahim.

Walaubagaimanapun beliau percaya rezeki ada di mana-mana sahaja.

“Cukuplah dengan apa yang saya ada. Kalau hendak kejar kemewahan mungkin saya boleh berhijrah ke Johor tetapi saya fikir rezeki sentiasa ada di mana-mana. Jadi keputusan untuk kekal di sini pasti dapat menggembirakan, terutama penyokong Kelantan.” tambahnya lagi.