Cubaan hidupkan Al-Arqam

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah konsert khas yang dipercayai cuba menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam di Bandar Country Home, Rawang dekat sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, beberapa individu telah ditahan termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron.

Difahamkan, Badrulamin merupakan tetamu kehormat konsert yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran pengasas dan pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad.

Jurucakap JAIS berkata, konsert yang bertemakan ‘Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib’ itu dihadiri kira-kira 3,500 orang.

Kain rentang yang digantung pada majlis tersebut tertera Majlis Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang bertemakan “Abuya terus memimpin walaupun ghaib”.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam, Selangor.

Sehubungan itu, JAIS akan menjalankan siasatan lanjut dan memantau aktiviti pengikut bekas pemimpin Al-Arqam berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menahan mereka yang didapati terbabit dalam cubaan menghidupkan kembali gerakan itu.

Difahamkan, selain jamuan makan, pengisian majlis tersebut turut disertai dengan konsert khas dan jualan pelbagai jenis barangan termasuk buku-buku.

Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad sebelum ia diisytihar sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Pengasasnya, Ashaari meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru