City ucap selamat tinggal

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menganggap peluang juara bertahan Liga Perdana England itu untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara sudah berakhir.

Mancini berkata demikian selepas menyaksikan City sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika menentang Ajax Armsterdam pada aksi Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi semalam.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Mancini ketinggalan lima mata dengan naib juara Kumpulan D, Real Madrid dengan berbaki dua perlawanan.

Meskipun City dilihat masih berpeluang untuk mara ke kelompok 16 pasukan terbaik seandainya mencatatkan dua kemenangan tersebut, Mancini berpendapat ia sudah terlewat buat The Citizens yang hanya mengutip dua mata dalam kempen Eropah.

“Saya tidak percaya kerana kami memiliki peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Kami hanya berjaya mendapatkan lapan mata sekiranya memenangi dua perlawanan terakhir.

“Jika kami berjaya berbuat demikian dengan layak mara ke pusingan seterusnya, kami mampu memenangi Liga Juara-Juara pada musim ini. Ia mungkin menjadi takdir kami.

“Namun, saya sentiasa menaruh kepercayaan kepada pasukan yang mana kami tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan,” ujar Mancini.

Dalam perkembangan sama, Mancini membidas keputusan pengadil yang gagal memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah selepas Mario Balotelli dikasari dalam kawasan kotak penalti.

Selain itu, Mancini juga berang dengan keputusan pengadil yang membatalkan jaringan penyamaan Aleksandar Kolarov yang didakwa ofsaid pada minit ke-88.

Pada aksi tersebut, Siem de Jong menjaringkan dua gol buat Ajax sebelum Yaya Toure dan penyerang Argentina, Sergio Aguero menyelamatkan maruah The Citizens di laman sendiri dengan mengikat kedudukan tersebut. – AFP