Chelsea didakwa mahu bunuh karier Clattenburg

LONDON – Pengendali Leeds United, Neil Warnock mendakwa, Chelsea mahu ‘membunuh’ karier pengadil, Mark Clattenburg.

Warnock juga menegaskan, Persatuan Bola Sepak (FA) England harus mengambil tindakan tegas terhadap Chelsea jika tuduhan mereka ke atas Clattenburg tidak benar.

Sehari selepas tewas 2-3 kepada Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge, Ahad lalu, Chelsea mendakwa Clattenburg mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap dua tonggak The Blues, John Obi Mikel dan Juan Mata.

Ekoran itu, beberapa pemain Chelsea termasuk Clattenburg telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak FA England.

“Pada pendapat saya, Mark Clattenburg memang bersalah kerana melayangkan kad merah kepada (penyerang Chelsea) Fernando Torres tetapi Chelsea cuba untuk ‘membunuhnya’ disebabkan perkara itu.

“Saya tidak bersetuju dengan perkara tersebut,” jelas Warnock.

Selain Torres, Clattenburg juga melayangkan kad merah kepada tonggak pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic dalam perlawanan tersebut.

Clattenburg turut menimbulkan kontroversi apabila mengesahkan jaringan kemenangan United menerusi Javier Hernandez yang dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.

Menurut Warnock, pengadil ditugaskan untuk mengendali sesuatu perlawanan dengan baik dan itulah yang dilakukan oleh Clattenburg.

“Saya pasti perkara itu tidak dibangkitkan oleh Chelsea jika mereka memenangi perlawanan tersebut.

“Jadi, jika pemain Chelsea gagal membuktikan apa yang dikatakan oleh Mark, saya berharap mereka akan dikenakan tindakan,” katanya.

Pandangan Warnock itu turut disokong oleh sebilangan besar pengadil lain yang meminta pihak FA England mengenakan tindakan terhadap Chelsea jika tuduhan mereka tidak benar.

FA England dan pihak polis kini sedang meneliti laporan yang dibuat Chelsea sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dalam masa terdekat. – Agensi