Butler bimbing T-Team musim depan

Bekas jurulatih Terengganu, Peter Butler sah dilantik sebagai ketua jurulatih T-Team bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Program Khas Sukan/T-Team Ab Rashid Jusoh berkata T-Team memilih Butler bagi menggantikan bekas pemain Liverpool Robbie Fowler.

“Fowler tidak jadi datang kerana mempunyai komitmen yang lain, walaupun kita berminat untuk menggunakan khidmatnya tahun depan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab Rashid berkata Butler akan memulakan tugas untuk melatih pasukan T-Team pada 18 Nov ini di padang Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Butler sebelum ini bergelut apabila beliau dikenakan tindakan gantung selama enam bulan dan denda RM4,000 oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana melanggar peraturan badan induk itu.

Ab Rashid berkata T-Team telah diberikan amanah kepada Butler untuk mencari pemain import dan juga pemain tempatan bagi memperkuat pasukan tahun depan.

Katanya seorang daripada dua pemain import yang diperlukan sudah pun diperoleh dan pemain peertahanan kelahiran Ghana itu dijangka tiba di sini minggu depan.

Pemain itu, George Boateng, 37, pernah bermain dengan pasukan Liga Inggeris, Nottingham Forest manakala seorang lagi, pemain penyerang masih dalam pencarian.

Ab Rashid berkata T-Team akan mencari pemain import yang terbaik dalam usaha mencapai sasaran juara salah satu daripada piala yang dipertandingkan tahun depan.

Selain pemain import, beliau berkata bekas tonggak pasukan Terengganu, Marzuki Yusof dan Marlizam Mohamad akan memperkukuhkan lagi pasukan T-Team tahun depan.

Katanya bagi merealisasikan matlamat tersebut, T-Team turut mengekalkan sebahagian daripada pemain musim ini antaranya Syamsuri Mustafa, Mohd Iqbal Sulaiman, Zairo Anuar Zailani, Faiz Subri, Muinuddin Mokhtar, Hasbullah Awang, Shahril Faizal dan Nor Fadli Alias.

Menurut Ab Rashid T-Team juga akan membawa masuk sekurang-kurangnya 10 orang pemain import tempatan yang diharap dapat membantu pasukan musim depan.

“Pemain-pemain berkenaan akan datang ke sini setelah kontrak berakhir dengan pasukan masing-masing akhir bulan ini untuk menandatangani kontrak dengan T-Team,” katanya.

Pengurusan pasukan T-Team telah bertukar tangan mulai tahun depan iaitu daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu kepada satu badan khas di bawah pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. – Bernama