Boateng dan Fowler bakal perkuatkan T-Team

KUALA TERENGGANU – Peminat pasukan T-Team bakal menyaksikan kelibat pemain kelahiran Ghana, Derek Boateng dalam Liga Malaysia musim depan apabila usaha untuk membawanya masuk ke pasukan ini mula menampakkan hasil.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, maklum balas pemain berusia 29 tahun itu yang pernah mewakili negaranya pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan amat positif dan pengumumannya akan dibuat tidak lama lagi.

“Untuk Boateng, saya boleh katakan yang dia akan bermain untuk T-Team, namun Fowler (Robbie) kita masih berbincang dan jika berjaya Fowler akan menjadi ketua jurulatih merangkap pengurus dan pemain.

“Ramai lagi antara pemain lain yang kita akan ambil, namun sampai masa nanti kita akan umumkan,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, ditanya tentang peruntukan pasukan pada musim depan Menteri Besar itu berkata: “Ya, memang peruntukan semakin bertambah setiap tahun kerana bajet untuk mengurus pasukan juga bertambah apatah lagi pemain pun semakin mahal.

“Sekarang ramai orang beli pemain dan kita juga tidak mahu ketinggalan, namun kita ada bajet sendiri dan bukanlah terlalu besar, namun berdasarkan kemampuan dan ia memang diperuntukkan bagi mendapatkan pemain yang terbaik.”

Jelasnya, langkah untuk mengambil pemain yang terbaik dan popular amat penting bukan sahaja buat kemajuan pasukan, malah bagi menarik minat penonton menyaksikan perlawanan di stadium.

“Jika kita berjaya menggunakan khidmat bekas penyerang pasukan Liverpool, Fowler sebagai pengurus dan pemain untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, saya yakin stadium akan penuh walaupun sebelum ini pasukan T-Team kurang mendapat sambutan apabila beraksi berbanding pasukan Terengganu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad enggan mengulas tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang dikatakan telah menandatangani perjanjian bersama pemain import, Jean Emmanuel Effa Owona walaupun masih mempunyai kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

“Kita hanya menyalurkan kewangan sahaja dan segala keputusan dibuat persatuan. Saya hanya dimaklumkan Owana belum habis kontrak dan tidak tahu perkembangan selanjutnya,” katanya.

Sumber