Beri masa Daren setahun – Lee Chong Wei

BERADA di puncak kerjaya dan sedang dalam proses menamatkan zaman bujang, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei akhirnya gembira kerana Liew Daren mula mengecapi kejayaan dengan merangkul kejuaraan Terbuka Perancis, minggu lalu.

Chong Wei berkata kejayaan pemain nombor dua negara itu cukup bermakna kerana tahun 2013 penuh dengan kalendar penting badminton dunia.

“Saya harap dia akan beraksi dengan lebih yakin lagi terutamanya di Siri Super Terbuka China. Kejayaannya penting kerana tahun depan kita memerlukan sekurang-kurangnya dua perseorangan yang kuat untuk mencabar kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Thomas,” kata Chong Wei.

Begitupun Chong Wei enggan menamakan Daren sebagai penggantinya semata-mata dengan hanya satu gelaran.

“Buat masa ini, kita perlu lihat sejauh mana tahap konsisten permainannya. Dia perlu lebih fokus selepas ini kerana semua lawan mula menyedari kelibatnya dan itu adalah satu tekanan yang tinggi.

“Saya sendiri sudah lima enam tahun berada dalam situasi itu dan mengambil masa untuk mengurus tekanan.

“Saya berpendapat dia memerlukan masa setahun lagi untuk berada sama tinggi dengan lima pemain terbaik dunia ketika ini,” kata Chong Wei sambil menegaskan akan membantu semua pemain negara termasuk barisan pelapis di bawah jurulatih Hendrawan seperti Mohd Arif Latif dan Misbun Ramdan Misbun.

Chong Wei yang ditemui pada majlis Perasmian Pembukaan Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Selangor, di Banting turut menyampaikan sumbangan peribadinya sebanyak RM100,000 kepada pusat jagaan yang dikelolakan Lion-Parkson Foundation itu.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Lion-Parkson Foundation, Puan Sri Chelseia Cheng, Pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya dan Sakit Mental Johor, Mohd Farid Datuk Hassan.