Baihakki: Calon-calon wajar menang

Baihaikki Khaizan mendedahkan pendapat tentang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 serta harapan untuk musim baru.

Musim bola sepak Malaysia telah berakhir dengan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 di Dewan Perdana Grand Bluewave Hotel, Shah Alam pada hari Selasa dengan penghargaan kepada para pemenang. Mereka telah dipilih oleh para jurulatih serta pihak FAM daripada senarai pencalonon yang dihantar oleh pasukan-pasukan yang terlibat.

Walaubagaimanapun beberapa keputusan telah dipertikaikan ramai termasuk Baihakki di akaun Twitter peribadi beliau. ESPNSTAR.my mendapat peluang untuk menebual pemain yang berusia 28 tahun itu dan mendapat tahu cerita sebenar.

“Twitter ini hanya sebagai hiburan bagi saya, tidak baik kalau terikut-ikut sangat.” kata Baihakki yang mempunyai lebih kurang 50,000 ‘followers’ di akaun beliau sambil menjelaskan , “Walauapapun pemenang-pemenang yang dicalonkan memang berkualiti dan tiada yang mengejutkan sangat – memang wajar pun kesemua yang dianugerahkan.”

“Pemain Kelantan Norshahrul Idlan Talaha memang pilihan saya sebagai Pemain Paling Bernilai. Beliau adalah penyerang yang lengkap, gerakan beliau yang bijak sering memberi masalah kepada benteng pertahanan pasukan saingan dan sentuhan terakhir beliau agak tepat.”

Beliau juga telah menyatakan bahawa ini adalah musim yang baik untuk LIONSXII yang telah meraih tempat kedua di Liga Super, peringkat suku akhir Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia tetapi berpendapat bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki.

“Saya rasa kami telah melalui musim yang memuaskan dengan pencapaian yang dicatatkan.” Baihakki berkata.
“Ini hasil titik peluh pasukan saya yang telah bertungkus-lumus demi maruah kami.
“Pengalaman saya bermain di Indonesia selama tiga musim pula masih sukar untuk diatasi Liga Singapura dan Malaysia. Saya suka melihat persaingan sengit dan sokongan padu para penyokong. Inilah antara sebab mengapa bola sepak amat seronok untuk ditonton. Selain aksi di padang, saingan antara para penyokong amat menarik untuk disaksikan.

“Saya berterima kasih atas sokongan di laman siber, tetapi lebih teruja dengan potensi sokongan padu di stadium. Hampir kesemua perlawanan Liga Indonesia akan disaksikan oleh lebih 40,000 para penyokong di stadium. Saingan antara Singapura dan Malaysia adalah baik tetapi kami mungkin memerlukan lebih masa sebelum dapat mencontohi kehadiran para penyokong Indonesia.”

Pemain pertahanan itu juga tidak terjejas unsur batu api para penyokong dan berkata: “Para penyokong akan cuba sedaya upaya untuk memberangsangkan pemain tetapi kami sudah biasa. Kami mempunyai hubungan yang baik di luar padang. Saya telah berdamping dengan Safee Sali apabila bermain di Indonesia.

“Saya tertarik kepada bola sepak Malaysia pada zaman kegemilangan Singapura. Prestasi saya masih mampu diperbaiki lagi dan saya tidak sabar untuk memulakan musim baru dalam Liga Super.” Katanya dengan teruja.

Beliau dianggap sebagai satu-satunya pemain pertahanan terbaik di Asia Tenggara dan telah memulakan kempen LIONSXII dengan gol ke atas Kelantan dalam perlawanan pertama dan satu lagi ke atas Kedah di hadapan para penyokong tuan rumah. Baihakki juga antara pemain-pemain LIONSXII yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Super yang lain tetapi setakat ini masih belum menentukan masa depan beliau. – espnstar