Azraai buru pemain terbaik liga ASEAN

IPOH – Jurulatih baru Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah mendedahkan keinginan untuk mendapatkan pemain terbaik daripada tiga liga bola sepak dalam kalangan negara ASEAN sebagai import skuad Seladang musim depan.

Menurutnya, beliau sedang meneliti prestasi beberapa pemain terbaik dalam Liga Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Saya lebih suka menggunakan import dari liga serantau kerana corak permainan mereka hampir sama dengan pemain tempatan.

“Ini akan mempercepatkan pemain import tersebut untuk membentuk persefahaman mantap dengan pemain tempatan,” katanya di sini, semalam.

Azraai Khor yang menggantikan Norizan Bakar dan Jang Jung, memulakan tugas barunya bersama skuad Seladang kelmarin.

Beliau mendedahkan antara pemain yang menjadi idamannya adalah penjaring terbanyak Liga Singapura, Frederic Mendy, 23, yang ketika ini bersama dengan kelab Home United.

Mendy yang berasal dari Peranchis sudah menjaringkan 20 gol dan kini menduduki tangga teratas dalam senarai penjaring terbanyak Liga-S musim ini.

Pemain itu juga merupakan penjaring terbanyak Liga-S 2011 dengan 37 gol.

Mendy pernah memenangi anugerah Kasut Emas pada musim 2010 ketika mewakli Etoile FC dengan menjaringkan 21 gol.

“Saya sudah melihat corak permainan Mendy yang sesuai dengan persembahan skuad Seladang.

“Terserah kepada pihak pengurusan Perak bagi mengadakan perbincangan selanjutnya,” katanya.

Perak memburu dua import baru bagi menggantikan Michal Kubala dan Albert Bodjongo.