Amri Yahyah kekal di The Red Giants

BEKAS ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah mengesahkan bahawa beliau akan kekal menyarung jersi The Red Giants pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Jelasnya, meskipun beliau memasang hasrat untuk berhijrah ke pasukan, tetapi ia tidak kesampaian kerana Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) enggan melepaskannya.

“Ya, saya akan kekal bersama Selangor selama setahun musim depan. Setelah melakukan perbincangan bersama pihak pengurusan, Fas enggan melepaskan saya.

“Saya terpaksa akur dan menerima apa jua keputusan yang telah diputuskan,” kata Amri ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Tambah Amri: “Tiada apa yang perlu dikecewakan, saya akan terus berbakti kepada Selangor dan memberikan prestasi yang terbaik demi pasukan itu.”

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah kerana hatinya yang sudah tidak berada di pasukan itu akan membuatkan beliau tidak memberikan komitmen serius, Amri bagaimanapun menyangkal dan menegaskan dirinya perlu profesional dalam hal ini.

“Hidup saya adalah untuk bola sepak, meskipun permintaan saya ditolak, saya perlu profesional dan tidak boleh memberorantak.

“Jadi, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk mereka.

“Tidak kira mana-mana pasukan saya, saya perlu berkhidmat dengan sebaik mungkin, dan itu akan saya lakukan,” kata beliau