Alia tak kisah babak cium

ALIA BHATT yang membuat penampilan sulungnya di layar perak menerusi filem terbaharu arahan pengarah Karan Johar, Student of The Year mengakui dia tidak kisah melakonkan babak cium menerusi filem-filem lakonannya pada masa akan datang.

Anak penerbit filem tersohor Mahesh Bhatt itu bagaimanapun menegaskan, dia sedia melakonkan babak cium di layar perak dengan syarat ia adalah kehendak skrip.

Gadis jelita berusia 19 tahun itu memberitahu Bollywood Celebden: “Saya tidak melihat bercium di layar perak sebagai suatu tabu. Jika ia mengikut kehendak skrip, saya akan melakukannya.”

Tambahnya: “Seperti dalam filem Student of The Year, saya memakai bikini dalam salah satu babaknya. Saya selesa melakukannya kerana ia mengikut kehendak skrip dan memakai bikini di kolam mandi memang berlaku dalam kehidupan realiti.”

Bercerita mengenai filem-filem terbitan syarikat bapanya, akui Alia: “Saya suka filem-filem terbitan syarikat (Vishesh Films) bapa saya. Bagaimanapun, itu tidak bermakna tiada produksi terbitan syarikat bapa saya yang saya tidak suka.”

Dia juga mengakui lega kerana filem sulung lakonannya bukan diterbitkan oleh bapanya.

“Ia lebih kepada bagaimana untuk meyakinkan kemunculan diri kepada audiens di layar perak. Saya meletakkan diri saya dalam keadaan selamat apabila muncul menerusi filem yang tidak diterbitkan oleh bapa sendiri. Jadi, tidak timbul saya merupakan anak emas penerbit filem,” katanya penuh makna.