Aeon miliki Carrefour

KHABAR angin mengenai pengambilalihan operasi pasar raya Carrefour di Malaysia akhirnya terjawab apabila Aeon Co Ltd (Aeon) dari Jepun semalam mengumumkan mengambil alih 100 peratus saham dalam operasi pasar raya itu dan akan dikenali sebagai Aeon Big.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Aseannya, Nagahisa Oyama berkata, pengambilalihan itu yang selesai dilaksanakan pada 31 Oktober lalu dianggarkan bernilai JPY15.1 bilion (RM580 juta).

“Proses penjenamaan semula Carrefour kepada Aeon Big sudah dimulakan dan akan selesai secara berperingkat dan kami melihat ini sebagai satu usaha untuk mengembangkan operasi di rantau Asean sejajar dengan polisi kami iaitu ‘Shift to Asian Market’.

“Ini kerana kami percaya dengan potensi yang ada pada pasaran ini khususnya Malaysia dan tidak teragak-agak menjadikan Malaysia sebagai hab bagi rantau ini selepas Jepun dan China,” katanya pada sidang akhbar khas mengumumkan perkara itu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, proses itu juga secara rasmi akan menjadikan Aeon sebagai peruncit kedua terbesar di Malaysia meliputi operasi Aeon Stores, MaxValu dan Aeon Big.

“Operasi kami di Malaysia dengan keseluruhan 51 cawangan mencatatkan pendapatan lebih JPY 122 bilion (RM4.68 bilion) dan kami menjangkakan untuk menjadi peneraju dalam industri ini menjelang 2020,” katanya.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran berkenaan, pihaknya melabur sehingga JPY300 bilion (RM11.5 bilion) bagi pembukaan 100 cawangan baru bagi tempoh tujuh tahun yang meliputi Aeon Store dan Aeon Big.

“Kami percaya kedua-dua pasar raya ini mempunyai profil pelanggan yang berbeza dan tidak menganggap kedua-duanya sebagai pesaing,” katanya.

Sejak mula beroperasi pada 1994, Carrefour Malaysia yang memiliki 26 cawangan dicatatkan sebagai empat peruncit terbesar daripada aspek jumlah jualan di negara ini.

Manakala, Aeon yang dicatatkan sebagai peruncit ketiga terbesar di Malaysia mula menjalankan operasi di sini sejak 1984 dan setakat ini mempunyai 29 cawangan termasuk empat pusat beli-belah melalui anak syarikatnya, Aeon Co (M) Bhd dengan pendapatan mencecah RM3 bilion setahun.