Zulfahmi pamer aksi mantap

Phillip Island: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin menampilkan persembahan membanggakan dalam kedua-dua sesi latihan bebas MotoGP Grand Prix Australia di Litar Phillip Island, semalam.

Pelumba pasukan AirAsia SIC Ajo Racing Team yang menunggang motosikal KTM berkuasa 250cc itu mencatatkan masa ketujuh terpantas dengan 1 minit 41.261 saat pada sesi latihan pertama dan menamatkan sesi latihan bebas di tangga keenam di belakang Romano Fenati.

Jonas Folger dari pasukan Mapfre Aspar Moto3 mencatat masa terpantas dengan catatan 1.39.213s meninggalkan juara dunia dari Red Bull KTM Ajo, Sandro Cortese di belakang. Di belakangnya ialah Maverick Vinales dari pasukan Blusens Avintia meskipun mengalami kemalangan pada sesi pagi.

Sesi latihan bebas AirAsia Grand Prix Phillip Island menyaksikan pelumba pasukan Repsol Honda, Casey Stoner mencatat masa terpantas 1:30.374 – menjadikan pelumba berusia 27 tahun itu berada di hadapan Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo.

Pada sesi petang, masa dicatat Stoner 1.29 saat di hadapan rakan sepasukan, Pedrosa yang turut menunjukkan peningkatan dengan harapan menggunung mahu menamatkan perlumbaan hujung minggu ini di hadapan Lorenzo.

Stoner juga tidak menunjukkan sebarang tanda kecederaan dialaminya, dilihat tenang bagi memenuhi impian mencapai kemenangan keenam berturut-turut di litar itu.