Zulfahmi Gagal Menamatkan Perlumbaan di GP Australia

PHILLIP ISLAND, 28 Oktober – Penunggang Moto3 GP negara, Zulfahmi Khairuddin yang memenangi tempat kedua pada GP Malaysia minggu lepas tidak bernasib baik pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Australia 2012 di Litar Philip Island hari ini apabila terjatuh pada pusingan empat terakhir sebentar tadi.

Zulfahmi yang memulakan perlumbaan hari ini di petak ke lima mengakui bahawa Litar Philip Island antara litar yang mencabar ekoran keadaan cuaca di Phillip Island yang sejuk dan berangin.

Philip Island bukannya litar yang membawa tuah buat Zulfahmi apabila pemuda berusia 21 tahun itu gagal melayakkan diri pada 2010, manakala tahun lalu dia bermula pada petak ke 27 dan menamat perlumbaan di tangga ke-20.

Pada perlumbaan sebentar tadi, Zulfahmi memulakan saingan di barisan kedua dan terjatuh pada pusingan ke empat terakhir.

Perlumbaan motosikal Moto3 Grand Prix Australia 2012 di Litar Philip Island yang berlangsung hari ini dimenangi oleh pelumba dari Jerman iaitu Sandro Cortese pasukan Red Bull KTM Ajo.