Wenger tetap pendirian

LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger tetap memberi fokus melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara setiap musim berbanding menjulang trofi kejuaraan.

Sebagai rekod, Wenger masih gagal menghadiahkan sebarang trofi kepada The Gunners sejak kali terakhir menjulang Piala FA pada 2005.

Begitupun, The Gunners masih konsisten untuk terus beraksi di pentas Liga Juara-Juara dalam tempoh tersebut dan bagi pengendali kelahiran Perancis itu, ia sudah dianggap satu kejayaan besar.

Sebelum ini, Wenger dikritik hebat oleh penyokong fanatik Arsenal selepas tewas 0-1 kepada Norwich City, sekali gus menyebabkan peluang mereka memburu trofi Liga Perdana England agak sukar.

Anak-anak buah Wenger turut mengalami kekalahan memalukan apabila tewas 0-2 ketika menentang kelab Jerman, Schalke 04 dalam kempen Liga Juara-Juara di Stadium Emirates Khamis lalu.

Bagaimanapun, Wenger menyifatkan perjuangan memburu slot Liga Juara-Juara sebagai salah satu ‘trofi’ dalam usaha The Gunners menempatkan dalam kelompok empat teratas liga domestik.

“Bagi saya, terdapat lima trofi untuk dimenangi pada musim ini.

“Pertama, untuk menjuarai Liga Perdana England, kedua, Liga Juara-Juara, ketiga, layak untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara, keempat, memenangi Piala FA dan kelima, memenangi Piala Liga.

“Saya berkata demikian kerana jika kamu mahu menarik pemain-pemain terbaik dunia, mereka tidak akan bertanya ‘adakah kamu telah berjaya memenangi Piala Liga?’

“Sebaliknya mereka akan bertanya ‘adakah kamu boleh beraksi di pentas Liga Juara-Juara?’ Itu yang menjadi soalan-soalan biasa bagi para pemain,” ujar Wenger.

Pada masa yang sama, Wenger juga mahu mempertahankan polisinya untuk tidak berbelanja mewah bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Tugas saya adalah membentuk satu pasukan dengan berbekalkan sumber yang sedia ada dan saya tidak pernah mengadu berhubung hal itu.

“Saya mahu sebuah kelab yang bangkit daripada hasil usaha sendiri dan tiada sebab untuk saya malu mengenai perkara itu,” katanya. – AFP