Wenger mula tekan butang panik

NORWICH – Pengendali Arsenal, Arsene Wenger mula melahirkan kebimbangan terhadap persembahan hambar anak-anak buahnya musim ini.

Awal pagi semalam, The Gunners kempunan meraih tiga mata berharga apabila tumpas mengejut 0-1 di tangan Norwich City dalam aksi Liga Perdana England di Carrow Road.

Dalam perlawanan itu, penyerang Norwich, Grant Holt berjaya memanfaatkan kesilapan penjaga gol pelawat, Vito Mannone untuk gol tunggal perlawanan pada babak pertama.

Kekalahan itu menyaksikan The Gunners sekadar meraih tiga kemenangan musim ini sekali gus ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea yang unggul dengan 22 mata.

“Terdapat jurang perbezaan yang cukup besar antara kami dan pendahulu liga dan ia sesuatu yang cukup membimbangkan.

“Kami berpeluang merapatkan kedudukan tetapi gagal melakukannya. Sudah tentu situasi itu membimbangkan saya, cuma yang lebih mengecewakan apabila kami gagal menjaringkan gol,” kata Wenger.

Di sebalik prestasi hambar jentera serangan The Gunners ketika ini, Wenger sebaliknya menegaskan tidak akan memburu penyerang baharu ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula Januari depan.

“Saya akan mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu. Persembahan penyerang sememangnya mengecewakan tetapi ia bukan bermakna saya perlu tergesa-gesa mendapatkan penyerang baharu.

“Persembahan Norwich juga lebih baik berbanding kami sebenarnya. Jika kami tidak segera bangkit, tidak mustahil kami perlu menerima hakikat bahawa sukar untuk menyaingi pasukan lain selepas ini,” tegas Wenger. – AFP