Villas-Boas tetap optimis

LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, André Villas-Boas optimis yang skuad kendaliannya mampu menewaskan Chelsea pada aksi Liga Perdana England, 20 Oktober ini.

Villas-Boas menyuarakan keyakinan itu selepas skuad kendaliannya melakar kemenangan buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Aston Villa 2-0 di Stadium White Hart Lane kelmarin.

Kemenangan itu telah melonjakkan tahap keyakinan Villas-Boas, sekali gus yakin anak-anak buahnya mampu menundukkan skuad The Blues yang pernah dibimbingnya.

Sebagai rekod, Chelsea yang unggul di tangga teratas carta liga masih belum tewas dalam saingan liga musim ini.

“Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami (Spurs). Namun, kami telah menunjukkan tahap kompetitif yang baik dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.

“Apabila kami berdepan pasukan yang menjadi pendahulu dan tidak pernah tewas, kami boleh menggunakannya sebagai motivasi untuk menewaskan pasukan tersebut.

“Pertemuan dengan Chelsea akan memberi peluang buat kami berada dalam kelompok empat pasukan teratas jika berjaya menewaskan mereka. Inilah saat-saat yang kami nantikan,” kata Villa-Boas.

Terdahulu, pada aksi menentang Villa, dua gol Spurs dijaringkan oleh Steven Caulker masing-masing pada minit ke-58 dan Aaron Lennon (67).

Bagaimanapun, apa yang paling mencuri tumpuan pada pertemuan tersebut ialah keputusan Villas-Boas yang mengetepikan penjaga gol berusia 41 tahun, Brad Friedel dalam kesebelasan utamanya.

Sebaliknya, beliau memilih untuk menurunkan penjaga gol baharu, Hugo Lloris.

“Selepas aksi menentang Panathinaikos (dalam saingan Liga Europa), kami membuat keputusan untuk menurunkan Lloris pada aksi Liga Perdana England.

“Dia tidak boleh hanya beraksi dalam saingan Liga Europa. Namun, perubahan ini dibuat bukan berdasarkan persembahan.

“Ini kerana Friedel telah mempamerkan aksi terbaiknya bersama pasukan ini,” kata Villas-Boas.

Ditanya sama ada Lloris akan menjadi penjaga gol No. 1 Spurs selepas ini, Villas-Boas berkata: “Tidak. Kami akan menilai prestasinya berdasarkan persembahan ketika menentang Chelsea nanti.” – Agensi