Van Persie dituduh menyiku Cabaye

NEWCASTLE – Pengurus Newcastle United, Alan Pardew mendesak Persatuan Bola Sepak (FA) England mengambil tindakan ke atas penyerang Manchester United, Robin van Persie.

Pardew mengemukakan arahan itu selepas van Persie dituduh menyiku Yohan Cabaye ketika membantu United menewaskan Newcastle 3-0 pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

FA sedang menunggu laporan pengadil perlawanan, Howard Webb sebelum membuat keputusan untuk mengambil tindakan ke atas penyerang antarabangsa Belanda itu.

Van Persie turut mempunyai rekod yang buruk ketika beraksi menentang skuad The Tyneside, terutamanya insiden pertengkaran dengan penjaga gol, Tim Krul ketika dia masih menyarung jersi Arsenal musim lalu.

Dalam kes ini, tindakan berkelakuan ganas perlu dibuktikan dan kebiasaannya pemain yang didapati bersalah akan digantung tiga perlawanan.

Sekiranya Webb mendedahkan bahawa beliau melihat insiden yang membabitkan pemain antarabangsa Perancis itu dan ia tidak perlu di ambil tindakan, kes itu akan ditutup.

Namun, jika pengadil Piala Dunia itu mengesahkan bahawa beliau tidak nampak insiden itu berlaku, FA England perlu mengkaji semula rakaman perlawanan tersebut.

“Dia (van Persie) melihat Cabaye dan dia menyiku pemain itu,” kata Pardew.

“Ia perlu diambil perhatian, saya tidak menipu.

“Terdapat sejarah pada tahun lalu dan van Persie didapati bersalah. Ia adalah sesuatu yang buruk.

“Cabaye tidak akan terjatuh sekiranya dia tidak dikasari. Saya telah melihatnya sekali lagi.

“Van Persie melihat Cabaye dan dia menyikunya. Terpulanglah kepada FA England,” tambahnya. – AFP