United, Chelsea kembali berentap

LONDON – Tumpuan pastinya terarah kepada pengadil perlawanan, Lee Mason yang bakal menjadi watak penting dalam perlawanan antara Manchester United dan Chelsea pada aksi pusingan keempat Piala Liga di Stamford Bridge awal pagi esok.

Sebelum ini, pengadil Mark Clattenburg dipalit kontroversi apabila didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman terhadap pemain Chelsea ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana England yang berkesudahan United menang 3-2 di stadium yang sama, Ahad lalu.

Clattenburg yang kini disiasat Persatuan Bola Sepak (FA) England dan pihak berkuasa, menimbulkan kemarahan pengendali Chelsea, Roberto Di Matteo kerana melayangkan kad merah kepada Fernando Torres dan Barislav Ivanovic dalam perlawanan itu.

Lebih teruk, keputusan Clattenburg mengesahkan jaringan kemenangan Javier Hernandez yang didapati ofsaid pada penghujung babak kedua juga mengundang kecaman penyokong fanatik The Blues.

Justeru, hanya kata-kata ‘selamat maju jaya’ sahaja yang mampu diungkapkan pengendali Manchester United, Alex Ferguson kepada Mason menjelang aksi awal pagi esok.

“Selamat maju jaya pengadil perlawanan,” kata Ferguson apabila ditanya jika beliau mahu menyampaikan sebarang mesej kepada Mason.

Apa yang pasti, pertembungan itu dijangka tetap hangat biarpun kedua-dua pasukan dikatakan tampil dengan skuad berbeza.

Pemain sayap United, Nani bersedia untuk diturunkan biarpun tidak berada dalam perancangan Ferguson ketika berdepan Chelsea, Ahad lalu.

“Prestasi semasa saya cukup baik dan yakin untuk diturunkan bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Di Matteo juga dijangka merombak kesebelasan utamanya ketika berdepan United nanti.

“Terdapat beberapa pemain yang digantung perlawanan selain musibah kecederaan yang melanda skuad kami.

“Mungkin saya akan membuat beberapa pertukaran. Ketika ini, saya belum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan,” kata Di Matteo.

Saksikan perlawanan tersebut awal pagi Jumaat ini di sini