Tutup mulut pengkritik

MILAN – Jurulatih Itali, Cesare Prandelli ada misi peribadi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Denmark di Stadium San Siro awal pagi esok.

Selain memburu kemenangan ketiga berturut-turut dengan membenam Denmark, Prandelli mahu menutup mulut pengkritik yang memperlekeh kemampuannya membimbing skuad The Azzurri.

Biarpun berjaya mengemudi Itali meraih kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini iaitu ketika menentang Malta dan Armenia, Prandelli masih dikecam selepas Itali seri 2-2 dengan Bulgaria pada aksi pembukaan kempen kelayakan Piala Dunia 2014.

Sejak mencipta kejutan dengan membawa Itali ke final Euro 2012, Prandelli masih melakukan eksperimen ke atas pemain dan formasi dalam usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi Piala Dunia 2014.

Kemenangan ke atas Armenia dianggap sebagai satu persembahan yang paling menakjubkan dalam kempen kali ini tetapi Prandelli tidak terlepas daripada kritikan.

“Saya dan para pemain yakin kami telah menampilkan aksi yang baik. Namun, apabila kami bangun pagi, kami melihat laporan dan mereka (pengkritik) masih mempersoalkan kemampuan kami,” kata Prandelli.

“Mungkin kami kurang konsisten dan jentera serangan kami tidak ‘tajam’ setiap kali berada dalam kawasan kotak penalti.

“Ini adalah aspek yang perlu diperbaiki kerana kami bukan sebuah pasukan yang bergantung kepada serangan balas yang pantas.

“Namun, sekiranya orang ramai menganggap selepas Euro 2012 kami hanya bermain dan mengharapkan tuah untuk menewaskan pasukan lain, ia adalah satu masalah besar.”

Denmark yang akan berkunjung ke San Siro dalam misi memburu kemenangan pertama pada kempen kali ini, dilabel sebagai pasukan bukan pilihan selepas tewas tujuh kali daripada 11 pertemuan menentang Itali. – AFP