Tugas berat Zulfahmi di GP Australia

PELUMBA Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin, yang berjaya meraih kedudukan kedua pada MotoGP Grand Prix Malaysia Ahad lalu, dijangka menghadapi tugas berat di GP Australia di Phillip Island, hujung minggu ini.

Namun begitu, Litar Phillip Island bukan sesuatu yang janggal bagi pelumba berusia 21 tahun itu kerana dia pernah bersaing sebanyak dua kali dalam kategori GP125cc di litar itu.

Bagaimanapun, dia hanya mampu menduduki tempat ke-20 tahun lalu dan gagal layak pada penampilan sulung pada 2010.

“Perlumbaan GP Australia adalah amat sukar dengan ciri litarnya agak ketat, pantas serta berangin…ia amat mencabar bagi pelumba,” kata pelumba kelahiran Banting, Selangor itu, semalam.

Bermula hari ini hingga Ahad, Litar Phillip Island sepanjang 4,448 meter, yang mempunyai tujuh selekoh kiri dan lima kanan serta laluan lurus utama sepanjang 900 meter itu dianggap litar paling lancar dalam kalendar MotoGP dunia.

“Litar itu amat berbeza dengan Sepang. Sememangnya saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang terbaik,” kata pelumba pasukan Team AirAsia-SIC-Ajo itu.

Zulfahmi berkata keutamaannya adalah untuk mempertahankan tempat ketujuh keseluruhan. Dia kini mempunyai 112 mata, 18 mata di depan Miguel Oliveira dari Sepanyol yang berada di belakangnya.

Berbaki dua pusingan dalam siri kejuaraan dunia musim ini, gelaran Moto3 dunia musim ini sudah dimenangi pelumba berusia 22 tahun dari Jerman, Sandro Cortese selepas mengumpul 280 mata apabila menjuarai GP Malaysia 2012.

Tempat kedua diduduki pelumba pasukan Kalex KTM, Luis Salom dari Sepanyol dengan 207 mata.

Sementara itu, baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali mengumumkan Zulfahmi ditawarkan untuk menunggang bagi pasukan berprestij Red Bull KTM Ajo Racing bagi musim depan.

Menurutnya tawaran kepada Zulfahmi itu adalah bagi mengisi tempat Cortese yang akan berlumba dalam kategori Moto2.