Subra kecewa tak dapat beraksi

Pertahanan Malaysia, S.Subramaniam meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat beraksi dalam Piala Suzuki bulan depan akibat kecederaan lutut.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan salah seorang pemain Kelantan yang menewaskan ATM 3-2 dalam masa tambahan Sabtu lepas untuk menjuarai Piala Malaysia tetapi beliau terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua kerana mengalami kecederaan dan telah diganti oleh Rizal Fahmi.

Kecederaan itu dikatakan serius dan menyebabkan beliau tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Suzuki bulan depan.

Bercakap kepada ESPNSTAR, beliau akui sukar untuk menerima kenyataan tidak akan beraksi nanti.
“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat beraksi dalam Piala Suzuki,” kata Subra.

“Kini saya menanti untuk melakukan imbasan pada lutut saya bagi melihat tahap kecederaan ini, tetapi kami telah membuat keputusan saya tidak akan beraksi bulan depan.

“Saya telah bekerja keras sepanjang tahun dan sangat tidak sabar untuk Piala Suzuki tetapi ini sesuatu yang malang dalam karier saya.”

Walaubagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan pencapaiannya bersama Kelantan.
“Untuk menang treble bersama Kelantan adalah satu saguhati buat saya kerana kami melalui tahun yang baik,” tambahnya.