SMS palsu tanah runtuh cetus suasana panik

KUALA LIPIS – Spekulasi mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan Kuala Lipis ke Merapoh, di sini, menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, kelmarin, menyebabkan beratus kenderaan dari Lembah Kelang menuju ke Kelantan terpaksa berpatah balik dan menggunakan Jalan Sungai Koyan ke Cameron Highlands dan Gua Musang.

Terdapat juga pemandu kenderaan terpaksa bersesak menggunakan jalan dari Bukit Kota menuju ke Aur Gading dan Chegar Perah untuk ke Pekan Merapoh sebelum ke Gua Musang.

Spekulasi yang dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu menyebabkan pengguna jalan raya panik dan berpatah haluan menggunakan jalan Cameron Highlands dan Chegar Perah untuk pulang ke kampung berhari raya.

Kiriman SMS berserta gambar itu melaporkan kejadian tanah runtuh berlaku di laluan Bukit Tujuh, Jalan Padang Tengku, Sungai Temau dan Merapoh.

Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abdul Hamid berkata, dia terkejut melihat beratus kenderaan bersesak menggunakan laluan Bukit Kota menuju ke Aur Gading dan Chegar Perah, sehari sebelum Aidiladha.

“Saya hubungi pondok polis Pekan Padang Tengku untuk mengesahkan kejadian, tetapi terkejut apabila diberitahu tiada satu pun kejadian tanah runtuh di laluan berkenaan.

“Malah rakan saya yang tinggal di Merapoh juga memberitahu tidak ada kejadian yang sama seperti dakwaan pihak tertentu dan pengguna jalan raya ke Kelantan,” katanya, di sini, kelmarin.

Badra berkata, kenderaan juga bergerak lancar dari Bandar Kuala Lipis ke Merapoh, tetapi agak perlahan berdekatan projek jalan baru Chegar Perah ke Merapoh.      

Sementara  pemandu, Zailan Nordin, 40, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian tanah runtuh di Bukit Tujuh, selepas Pekan Padang Tengku.

Menurutnya, dia kesal dengan pihak yang membuat spekulasi mengenai kejadian tanah runtuh itu kerana boleh mengganggu konsentrasi pemandu.