Skuad OKS mahu ratah Sydney FC

SLOT separuh akhir kejohanan jemputan Newspaper Cup di Vietnam sudah pun berada di depan mata skuad Harimau Muda.

Selepas menewaskan Laos 4-2 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B, Sabtu lalu, skuad kendalian Ong Kim Swee akhirnya sah ke separuh akhir tanpa menunggu aksi kedua menentang Sydney FC petang ini. Ia ekoran kejayaan Sydney FC menjinakkan Laos 2-1 kelmarin, sekali gus memadam cabaran Laos dalam kejohanan kali ini.

Begitupun, Kim Swee tetap mahu anak- anak buahnya melakar keputusan yang baik ketika berdepan Sydney FC petang ini.

Katanya, bagi mengekalkan momentum persembahan pemain menjelang aksi separuh akhir, Jumaat ini.

“Dengan musibah kecederaan pemain serta ketiadaan pemain utama kali ini, kemampuan mara ke separuh akhir sememangnya dianggap satu kejayaan.

“Saya tidak begitu memikirkan siapa lawan kami pada separuh akhir nanti.

“Bagi saya, Vietnam, Singapura dan Thailand di Kumpulan A merupakan pasukan yang kuat, mereka memiliki peluang yang seimbang untuk ke separuh akhir.

“Jadi, saya harap pemain dapat melakar keputusan yang baik ke atas Sydney FC terlebih dahulu sebelum mencongak peluang ke pentas final,” kata Kim Swee.

Begitupun, ia bukan satu tugas mudah memandangkan pemain sayap, Fandi Othman sah diketepikan terus daripada kejohanan kali ini gara-gara kecederaan.

“Kecederaan Fandi lebih teruk daripada dijangka, jadi saya terpaksa melupakan khidmatnya kali ini.

“Selain itu, prestasi Irfan Fazail dan Syazwan Tajuddin juga masih meragukan gara-gara kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee juga membayangkan bakal merombak benteng pertahanannya yang dilihat agak goyah ketika berdepan Laos tempoh hari, selain berharap jentera penyudah yang diterajui A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri dapat merobek gawang Sydney FC hari ini.