Selangor hampiri Misi 33

Selangor kini selangkah kehadapan menuju kepada Misi 33 selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan kemenangan agregat 5-2 ke atas Johor FC.

Johor FC ternyata tempang di bahagian serangan tanpa kelibat pemain import mereka, Arthur Henrique yang cedera selepas tewas 3-1 pada suku akhir pertama dan tewas 2-1 pada suku akhir kedua.

Johor FC memulakan saingan di Stadium Shah Alam dengan baik apabila Fernando Ausgusto melakukan percubaan hebat seawal minit ketiga perlawanan.

Walaubagaimanapun kesilapan mereka sendiri telah membenarkan Amri Yahyah merampas bola dari mereka dan kemudian membuat hantaran kepada S.Venood yang menjaringkan gol pertama Selangor.

Johor bangkit pada babak kedua apabila tandukan Izuan Jarudin mengenai Fernando Augusto yang menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-65.

Pasukan pelawat terus membuat asakan di kubu tuan rumah namun penghabisan yang lemah di hadapan gol tidak membuahkan sebarang hasil kepada mereka.

Fitri Shazwan kemudian menjaringkan gol cantik hasik tendangan kaki kirinya yang gagal disambut Zamir Selamat untuk memberikan kemenangan 2-1 kepada Selangor.

Selangor menamatkan suku akhir dengan kemenangan agregat 5-3 ke atas Johor FC dan akan bertemu juara Liga Super, Kelantan pada saingan separuh akhir yang akan bermula hujung minggu ini.