‘Saya dengan Rajagobal okey’ – OKS

CERITA kononnya hubungan antara dua watak penting dalam skuad bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal dan Ong Kim Swee (gambar) yang dikatakan ‘tersulam dingin’ sebelum ini ternyata tidak berasas.
Semalam, Kim Swee menegaskan, beliau sentiasa menghormati kredibiliti Rajagobal sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Sebelum ini, spekulasi itu dilihat rancak meniti di bibir segelintir pemerhati bola sepak tempatan ekoran lima pemain Harimau Muda – Izham Tarmizi Roslan, Gary Steven Robbat, Zubir Azmi, Mohd. Fadhli Shas dan Wan Zack Haikal Wan Noor – dipanggil Rajagobal menyertai 33 pelatih lain di Wisma FAM, Jumaat ini.

Ia sebagai persiapan awal Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong pada 16 Oktober depan.

Sedangkan pada masa sama, Kim Swee bersama Harimau Muda bakal menggalas tanggungjawab mengharumkan nama negara pada Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di Vietnam selama lapan hari bermula 13 Oktober ini.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Kim Swee sebaliknya mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’ berhubung perkara itu.

“Hubungan saya dengan Datuk (Rajagobal) okey, tidak ada apa- apa masalah. Saya sentiasa menghormati beliau.

“Benda ini sebenarnya normal dan tidak perlu dijadikan isu. Saya pun ada memanggil khidmat skuad Harimau Muda B sebelum ini.

“Jadi, saya tidak tahu mengapa isu tersebut boleh timbul,” tegasnya kepada Kosmo! semalam.
Enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kim Swee berharap supaya isu tersebut tidak disensasikan mana-mana pihak.

Ketika ditanya sama ada isu tersebut bakal memberikan kesan terhadap peluang pemain Harimau Muda menyarung jersi kebangsaan, Kim Swee menegaskan: “Macam inilah, biar saya mengadakan pertemuan (dengan Rajagobal) terlebih dahulu.

“Selagi belum berjumpa beliau, saya enggan mengeluarkan sebarang komen.”