Sathia: ATM perlu kekal fokus

Jurulatih pasukan Angkatan Tentera Malaysia B Sathianathan menggesa anak buahnya untuk kekal fokus selama 90 minit dan tidak melakukan kesilapan.

Menurutnya, pemain perlu bermain bermati-matian dan elak melakukan kesilapan mudah yang akhirnya mengancam peluang mara ke pusingan separuh akhir.

Walaupun menang 3-2 ke atas Negeri Sembilan dalam saingan suku akhir pertama Malaysia minggu lepas, jurulatih itu percaya ia bukan satu kemenangan yang selesa.

“Kita masih lagi mempunyai peluang kedua dan saya harap penjaga gol kita (Farizal Harun) tidak melakukan kesilapan yang sama.

“Memang kecewa memandangkan kami sudah mendahului, namun disebabkan kesilapan mudah yang dilakukan pemain terutama di bahagianpertahanan, ianya sekali gus membuka peluang keemasan buat pasukan pelawat bangkit dan merapatkan jurang kedudukan,” katanya kepada Sinar Harian.

ATM akan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Paroi dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia pada hari Selasa.